Buah yang tidak boleh dimakan oleh pesakit buah pinggang merupakan perkara penting yang perlu diketahui oleh setiap individu yang menghadapi masalah kesihatan ini.
Walaupun buah-buahan terkenal sebagai sumber vitamin dan serat, tidak semua buah sesuai untuk pesakit buah pinggang kerana sesetengahnya mengandungi kandungan kalium, fosforus atau oksalat yang tinggi.
Pengambilan buah yang tidak sesuai boleh memberi kesan negatif kepada fungsi buah pinggang dan mengundang komplikasi lain seperti keletihan, aritmia jantung atau kelemahan otot.
Justeru, pemilihan buah yang betul amatlah penting dalam diet harian mereka.
Artikel ini akan mengupas 10 jenis buah yang tidak boleh dimakan oleh pesakit buah pinggang, beserta penjelasan mengapa buah-buahan ini perlu dielakkan.
Baca juga:
Jenis Buah yang Tidak Boleh Dimakan oleh Pesakit Buah Pinggang
Pemilihan buah yang betul amat penting bagi memastikan keadaan pesakit tidak bertambah buruk.
Antara buah yang tidak boleh dimakan oleh pesakit buah pinggang adalah seperti berikut:
1. Avokado


Walaupun avokado terkenal sebagai buah yang kaya dengan lemak sihat dan pelbagai vitamin, ia mengandungi kandungan kalium yang sangat tinggi.
Satu biji avokado mengandungi kira-kira 690 mg kalium, hampir separuh daripada had harian yang disarankan untuk pesakit buah pinggang.
Menurut National Kidney Foundation, makanan dengan lebih daripada 200 mg kalium setiap hidangan dianggap tinggi.
Oleh itu, pesakit buah pinggang perlu mengelakkan avokado dalam diet mereka.
2. Pisang


Pisang merupakan buah yang kaya dengan kalium, di mana sebiji pisang bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 422 mg kalium.
Ini menjadikannya kurang sesuai untuk individu yang perlu menghadkan pengambilan kalium di bawah 2,000 hingga 2,500 mg sehari.
Pengambilan pisang secara berterusan boleh menyebabkan lebihan kalium dalam darah, yang membahayakan fungsi jantung dan buah pinggang.
3. Oren


Oren dan jus oren sememangnya kaya dengan vitamin C dan antioksidan, namun kandungan kaliumnya juga tinggi. Satu biji oren besar mengandungi 333 mg kalium, manakala secawan jus oren mengandungi sekitar 458 mg.
Disebabkan itu, pesakit buah pinggang dinasihatkan untuk menghadkan atau mengelakkan oren dan jus oren.
Sebagai alternatif, mereka boleh memilih buah anggur, epal, atau kranberi yang lebih selamat.
4. Aprikot


Aprikot mengandungi vitamin A, vitamin C dan serat yang tinggi, tetapi juga sangat kaya dengan kalium.
Satu cawan aprikot segar mengandungi 427 mg kalium, manakala versi keringnya mengandungi lebih 1,500 mg kalium untuk setiap cawan.
Ini bersamaan dengan 75% daripada had kalium harian bagi pesakit buah pinggang. Oleh itu, aprikot terutamanya yang kering perlu dielakkan sama sekali.
5. Buah-buahan Kering
Buah kering seperti kurma, kismis, prun dan aprikot kering sangat tinggi kandungan gula serta kalium.
Separuh cawan aprikot kering mengandungi sekitar 755 mg kalium. Buah kering juga tinggi dalam gula cepat serap, yang boleh memburukkan masalah jika penghidap turut menghidap diabetes.
Pesakit buah pinggang perlu mengelakkan buah-buahan kering kerana kandungan mineral dan gulanya yang padat.
6. Kiwi


Kiwi merupakan buah yang kaya dengan vitamin C dan antioksidan, namun ia juga tinggi dengan oksalat dan kalium.
Oksalat boleh mencetuskan pembentukan batu karang, manakala satu biji kiwi mengandungi kira-kira 215 mg kalium.
Ini menjadikan kiwi tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah batu karang atau penyakit buah pinggang kronik.
7. Betik


Betik mengandungi pelbagai nutrien penting seperti vitamin C, vitamin A, dan beta-karotena, tetapi ia juga sarat dengan kalium.
Satu biji betik boleh mengandungi sehingga 781 mg kalium. Ini melebihi 15% daripada keperluan harian dan boleh mengganggu keseimbangan elektrolit dalam tubuh pesakit buah pinggang.
Oleh itu, betik perlu dielakkan walaupun khasiatnya banyak.
8. Buah Tembikai Susu


Tembikai susu adalah sejenis buah tropika yang mengandungi jumlah kalium yang tinggi, sama seperti cantaloupe.
Ia juga mengandungi air yang banyak, namun bagi pesakit yang perlu mengehadkan pengambilan cecair dan kalium, tembikai susu bukanlah pilihan terbaik.
Pengambilannya boleh menyebabkan pengumpulan kalium dalam darah (hiperkalemia) yang berbahaya.
9. Cantaloupe


Cantaloupe mengandungi sekitar 10% daripada keperluan kalium harian bagi seorang dewasa.
Lebih-lebih lagi bagi pesakit yang mengambil ubat seperti beta-blockers, yang boleh meningkatkan tahap kalium dalam darah.
Jika dimakan secara berlebihan, cantaloupe boleh meningkatkan risiko kerosakan buah pinggang akibat lebihan kalium.
10. Mangga


Mangga merupakan buah tropika yang lazat dan kaya dengan vitamin, namun ia juga mengandungi kalium yang agak tinggi.
Buah ini juga tinggi gula semula jadi, yang boleh menjadi masalah tambahan bagi pesakit buah pinggang yang turut menghidap diabetes.
Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk mengelakkan atau menghadkan pengambilan mangga dalam diet mereka.
Contoh Buah yang Sesuai Dimakan
Sebagai alternatif, pesakit boleh memilih buah-buahan rendah kalium seperti:
- Epal
- Anggur
- Buah beri (Strawberi, Blueberi, Raspberi)
- Nanas
- Kranberi
Sukatan Pengambilan Kalium yang Sesuai untuk Pesakit Buah Pinggang
Menurut My Kidney Journey, bagi pesakit penyakit buah pinggang kronik (CKD), kalium boleh terkumpul hingga ke tahap yang berbahaya, yang berisiko menyebabkan degupan jantung menjadi tidak teratur atau terhenti secara tiba-tiba.
Secara umumnya, rawatan dialisis peritoneal (PD) lebih berkesan dalam menyingkirkan lebihan kalium daripada badan berbanding hemodialisis (HD).
Oleh itu, pesakit yang menjalani PD biasanya boleh mengambil antara 3 hingga 4 gram kalium sehari.
Sebaliknya, bagi pesakit yang menjalani HD, pengambilan kalium perlu dihadkan kepada sekitar 2 gram sehari untuk mengekalkan keseimbangan elektrolit.
Bagi mereka yang menjalani hemodialisis di rumah (home HD), adalah disarankan untuk berbincang dengan pasukan penjagaan kesihatan atau pakar diet bagi menentukan jumlah kalium yang sesuai mengikut keperluan individu.
Sumber: Healthline, Buku Panduan Pemakanan untuk Pesakit Buah Pinggang