Daun selom ialah sejenis tumbuhan herba yang sering dijadikan ulam atau dimasukkan ke dalam masakan tradisional.
Rasanya yang segar dan sedikit pedas menjadikannya pilihan popular dalam hidangan harian.
Selain digunakan dalam masakan, daun selom juga dikenali kerana mengandungi pelbagai nutrien penting dan khasiat semula jadi yang baik untuk kesihatan.
Dalam artikel ini, kita akan mengenali dengan lebih lanjut tentang fakta menarik, kandungan nutrisi, dan bagaimana daun selom boleh dimanfaatkan dalam diet seharian.
Apa itu Daun Selom


Daun selom, atau nama saintifiknya Oenanthe javanica, merupakan sejenis tumbuhan herba kekal (perennial) yang tumbuh subur di kawasan berpaya dan lembap.
Ia turut dikenali dengan nama lain seperti water celery atau Chinese celery dalam bahasa Inggeris. Keseluruhan bahagian tumbuhan ini termasuk daun, batang dan akarnya boleh dimakan sama ada secara mentah atau setelah dimasak.
Rasanya yang menyerupai saderi mungkin agak kuat apabila dimakan mentah, namun rasa tersebut menjadi lebih ringan selepas dimasak.
Daun selom sering digunakan dalam masakan sebagai penambah rasa, contohnya dalam nasi, sup, dan stew, serta turut enak dijadikan ulam dalam salad. Selain kegunaan kulinari, daun selom juga terkenal dalam perubatan tradisional kerana dipercayai mempunyai pelbagai manfaat kesihatan.
Kandungan Nutrisi
Untuk setiap 100 gram daun selom, ia mengandungi nutrisi sebanyak:
- Karbohidrat (berbeza) : 3.32g
- Jumlah lemak : 0.16g
- Protein : 0.49g
- Natrium (Na) : 97.21mg
- Kalium (K) : 265.2mg
- Magnesium (Mg) : 10.93mg
- Kalsium (Ca) : 46.28mg
- Vitamin B-6 : 0.05mg
- Fosforus (P) : 21.6mg
- Zink (Zn) : 0.09mg
- Nitrogen : 0.08g
- Mangan (Mn) : 0.08mg
- Air : 95.2g
Khasiat Daun Selom Untuk Kesihatan


1. Melindungi Kesihatan Hati
Daun selom memiliki potensi yang tinggi dalam menjaga kesihatan hati. Dalam perubatan tradisional China, ia digunakan secara meluas untuk merawat penyakit berkaitan hati.
Kajian ke atas tikus makmal menunjukkan bahawa komponen fenolik dalam daun ini mampu melindungi hati daripada kerosakan akibat tekanan pengoksidaan.
Selain itu, sebatian aktif seperti persicarin yang terkandung dalam daun ini turut didapati berkesan dalam mencegah kerosakan hati yang berkaitan dengan diabetes.
2. Mencegah Keradangan
Keradangan kronik boleh menjejaskan kesihatan secara menyeluruh. Daun ini kaya dengan sebatian antiradang seperti flavonoid isohamnetin dan hyperoside yang berupaya mengurangkan tindak balas keradangan.
Kajian haiwan juga mendapati bahawa persicarin dalam daun ini berpotensi digunakan untuk merawat penyakit seperti sepsis, iaitu keradangan pembuluh darah yang serius.
3. Menstabilkan Paras Gula Dalam Darah
Khasiat daun selom dalam mengawal gula darah dibuktikan melalui kajian ke atas haiwan, di mana ekstrak air daun selom berjaya menurunkan paras gula ke tahap normal.
Sebatian flavon dalam daun ini juga membantu meningkatkan rembesan insulin serta mengurangkan paras lemak dalam darah, menjadikannya berpotensi sebagai agen antidiabetes yang semula jadi.
4. Berpotensi Sebagai Antivirus
Satu kajian makmal menunjukkan bahawa sebatian flavon dan fenolik dalam daun selom mampu menghalang jangkitan virus hepatitis B.
Ini menunjukkan potensinya sebagai bahan antivirus semula jadi yang boleh dimanfaatkan dalam rawatan penyakit berjangkit tertentu.
5. Baik Untuk Kesihatan Otak
Fungsi otak cenderung merosot dengan pertambahan usia. Kajian mendapati bahawa daun selom mengandungi sebatian yang melindungi neuron otak daripada kerosakan akibat kekurangan oksigen.
Di Malaysia, penyelidikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut membuktikan bahawa daun ini membantu melindungi neuron dan menguatkan daya ingatan, sekaligus berpotensi mencegah penyakit seperti Alzheimer dan dementia.
6. Mencergaskan Badan
Ekstrak daun selom dilaporkan mampu melambatkan keletihan dan meningkatkan tenaga.
Ini berlaku melalui peningkatan enzim yang menukarkan gula kepada tenaga serta peningkatan enzim yang berfungsi mengurangkan kerosakan tisu badan.
Khasiat ini menjadikannya sesuai sebagai tonik semula jadi untuk kecergasan harian.
7. Menyihatkan Jantung
Penyakit jantung merupakan punca utama kematian di Malaysia. Kajian menunjukkan bahawa daun selom dapat menstabilkan ritma jantung yang tidak normal.
Flavonoid dalam daun ini juga berkesan dalam merawat keradangan pembuluh darah, seterusnya menyokong kesihatan sistem kardiovaskular secara keseluruhan.
8. Baik Untuk Keremajaan Kulit Wajah
Daun selom turut terkenal sebagai ulam awet muda.
Kajian mendapati kandungan fenolik dalam daun ini mampu melindungi kulit daripada kesan sinaran UV, mengurangkan keradangan kulit serta merangsang penghasilan kolagen yang penting untuk keanjalan dan keremajaan kulit.
9. Meningkatkan Kesihatan Buah Pinggang
Daun selom juga membantu menjaga fungsi buah pinggang.
Ia bertindak mengurangkan tekanan pengoksidaan dalam organ ini melalui peningkatan aktiviti enzim antioksidan, sekali gus melindungi buah pinggang daripada kerosakan terutamanya dalam kes pesakit diabetes atau darah tinggi.
Contoh Resepi Ringkas Menggunakan Daun Selom
Berikut ialah beberapa contoh resepi ringkas menggunakan daun selom yang mudah disediakan di rumah.
1. Kerabu Daun Selom
Bahan-bahan :
- Ikan bilis (digoreng garing)
- Bawang besar
- Bawang putih
- Lada hitam
- Isi tenggiri (dibakar)
- Kelapa parut (disangai)
- Daun selom
- Limau nipis
- Tomato
Cara-cara:
- Tumbuk bawang besar, bawang putih, isi tenggiri (dibakar), kelapa parut (disangai), dan sedikit lada hitam.
- Hiris halus daun selom.
- Campurkan bahan tumbuk tadi ke dalam mangkuk yang berisi hirisan daun selom.
- Masukkan juga ikan bilis goreng, hirisan bawang besar, tomato yang telah dipotong, garam gula secukup rasa, dan sedikit perahan limau nipis.
- Gaul sehingga rata dan siap untuk dimakan.
2. Nasi Ulam
Bahan Ulaman:
- Daun ulam raja
- Daun selom
- Daun ketereh
- Daun limau purut
- Daun kadok
- Daun kesum
- Daun kunyit
- Bunga kantan
Bahan Kisar:
- Kelapa parut
- Isi ikan kurau
- Bawang merah
- Halia
- Serai
- Lada hitam
Cara-cara:
- Hiris halus kesemua bahan-bahan ulaman.
- Goreng isi ikan kurau
- Kisar bawang merah, kelapa parut (digoreng), isi ikan kurau (digoreng), halia, dan serai sehingga halus.
- Campurkan bahan ulaman yang telah dihiris bersama bahan kisar yang telah diblender halus ke dalam mangkuk.
- Gaul rata dan campurkan bersama nasi putih.
- Nasi ulam siap untuk dimakan!
Semoga khasiat daun selom ini boleh membantu anda meningkatkan tahap kesihatan yang lebih baik dan jangan lupa cuba resepi menarik yang kami kongsikan tadi!
Baca juga: