Khasiat, Kandungan Nutrisi dan Resepi Ringkas


Adakah anda sering makan ulam raja sebagai hidangan sampingan? Sayuran ini merupakan salah satu ulam-ulaman yang cukup popular di Malaysia.

Ulam dengan nama saintifik Cosmos caudatus ini mempunyai aroma serta rasa yang wangi dan unik.

Ini menjadikan ia sesuai untuk dinikmati bersama nasi campur lebih-lebih lagi pada waktu tengah hari atau malam.

Ia juga sering dipadankan bersama sambal belacan, sambal kelapa atau budu untuk membangkitkan lagi rasanya.

Ulam ini turut menjadi salah satu komponen penting dalam hidangan seperti laksa, nasi ulam dan nasi kerabu.

Di sebalik kesegaran dan keenakan ulam ini, apakah khasiat yang terkandung padanya? Adakah cara lain untuk nikmati ulam ini selain dimakan mentah? Ayuh ikuti perkongsian daripada kami.

ulam rajaulam raja
Sumber : Harian Metro

Kandungan Nutrisi

Berikut merupakan kandungan nutrisi bagi ulam ini bagi setiap 100 gram :

Kandungan Jumlah
Kalori 18 kcal
Protein 2.9 g
Serat 1.6 g
Kalsium 270 mg
Fosforus 37 mg
Kalium 426 mg
Karotena 3,568 ug
Zat besi 4.6 mg
Vitamin A 595 ug
Vitamin C 64.6 mg
ulam rajaulam raja
Sumber : Nutritionist KKM

Khasiat Ulam Raja Untuk Kesihatan

1. Meningkatkan Fungsi Otak dan Mencegah Demensia

Sebuah kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia mendapati bahawa ulam raja atau mampu mencegah demensia dari awal pengambilannya.

Hal ini, kerana ia mengandungi kadar polifenol yang tinggi, iaitu agen pencegah kecelaruan fungsi kognitif (MCI) atau keadaan prademensia yang cukup berkesan dan mampu meningkatkan tahap antioksidan dalam darah serta membina sel neuron yang baharu.

Menerusi kajian bermula pada tahun 2017 dan menggunakan geran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu, pasukan penyelidik UKM yang diketuai oleh Profesor Dr Suzana Shahar yang juga Dekan Fakulti Sains Kesihatan UKM telah menghasilkan ekstrak ulam raja dalam bentuk cecair yang kemudian diadun dengan quercetin dan quercitrin serta ekstrak buah-buahan beri bagi dijadikan produk makanan kesihatan tambahan.

Pengambilan kapsul ekstrak ulam raja ini akan mengalami peningkatan rangsangan fungsi otak berkaitan daya ingatan berbanding kumpulan yang mengambil plasebo.

Hasil ujian menunjukkan sukarelawan yang mengamalkan pengambilan ekstrak ulam raja itu mengalami perubahan positif dari segi daya ingatan dan memori berbanding sebelum pengambilan makanan kesihatan tambahan tersebut.

2. Tinggi Antioksida

Radikal bebas yang berlebihan dalam tubuh boleh mengakibatkan kerosakan sel badan dan mengganggu fungsi otak.

Pengambilan ulam raja yang padat dengan antioksidan khususnya gluthathione didapati mampu menurunkan tahap radikal bebas dan sekaligus membantu melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit.

Sebuah kajian daripada Universiti Sains Malaysia juga mendapati ulam ini mempunyai khasiat antioksida yang paling tinggi sekiranya dibandingkan dengan ulam lain seperti daun pegaga, petai, daun selom dan daun kari.

Pada masa yang sama, antioksida juga penting untuk melindungi serta mengekalkan kesihatan mata, kulit dan rambut.

3. Berpotensi Membaiki Mood dan Mengurangkan Stres

Kandungan flavonoid dalam ulam ini juga didapati berpotensi untuk mengurangkan gangguan mood serta mempunyai kesan anti-depresi bagi mengurangkan rasa cemas.

Diet tinggi flavonoid juga dipercayai mampu mencegah depresi dan keradangan sel-sel otak.

4. Baik Untuk Kesihatan Tulang

Dengan kandungan kalsium dan fosforus yang tinggi, ulam ini sangat baik untuk diamalkan bagi mengekalkan ketumpatan serta kesihatan tulang di samping mencegah masalah osteoporosis (tulang reput).

Contoh Resepi Ringkas Ulam Raja Yang Mudah dan Wajib Dicuba

Adakah anda sudah bosan nikmati ulam ini dengan sambal belacan? Sebenarnya terdapat beberapa resepi ringkas yang boleh anda cuba menggunakan ulam raja.

Ayuh kita semak resepinya.

1. Kerabu Ulam Raja

Bahan-bahan :

  • 1 ikat daun ulam raja (dihiris halus)
  • ½ biji kelapa (ambil santannya)
  • 1 inci halia-ditumbuk
  • 3-4 batang serai (ditumbuk)
  • 10 biji cili Melaka (ditumbuk)
  • Udang direbus-ditumbuk sedikit
  • 2-3 sudu air asam jawa
  • 1 peket kerisik
  • ½ inci belacan
  • Bawang besar (dihiris nipis)
  • Bunga kantan (dihiris)
  • Garam, gula dan sedikit serbuk perasa
Sumber : rasa.my

Cara-cara:

  • Masukkan bahan yang sudah ditumbuk, belacan, kerisik dan gaulkannya bersama santan.
  • Masukkan pula garam, gula, serbuk perasa dan air asam jawa. Perasakan mengikut citarasa masing-masing.
  • Akhir sekali, masukkan daun ulam raja, bunga kantan dan bawang besar. Gaulkan sebati.

2. Urap Ulam Raja

Bahan-bahan :

  • 3 ikat ulam raja
  • ½ biji kelapa parut putih
  • Bahan untuk dikisar halus :
  • 1 biji bawang India
  • 3 ulas bawang merah kecil
  • 150 gram ikan bilis
  • 100 gram udang kering
  • 5 biji cili merah (boleh tambah jika suka pedas)
  • Minyak dan garam

Cara Memasak :

  • Panaskan kuali dan masukkan 3 sudu minyak
  • Masukkan bahan kisar dan tumiskan sehingga garing.
  • Seterusnya, masukkan kelapa parut.
  • Gaulkan sampai rata dan taburkan pula 3 cubit garam halus.
  • Kemudian, masukkan ulam raja yang telah disiang dan dibasuh.
  • Gaulkan sampai rata semua bahan-bahan
  • Hidangan sedia untuk dinikmati
ulam rajaulam raja

Sumber : Facebook Rosmawati Mohamad

3. Ulam Raja Goreng Ikan Bilis

Bahan-bahan :

  • 2 ikat ulam raja
  • Sejemput ikan bilis
  • Cili api (ikut citarasa dan kepedasan)
  • 1 labu bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit kunyit serbuk

Cara-cara :

  • Rebus ulam sehingga lembut kemudian perah airnya dan racik anggaran ½ inci.
  • Tumbuk cili api, bawang merah dan bawang putih sehingga halus
  • Seterusnya, masukkan ikan bilis yang telah dicuci dan tumbuk kasar.
  • Tumis semua bahan yang telah ditumbuk sehingga garing dan gaulkan dengan sedikit serbuk kunyit
  • Letakkan sedikit garam untuk seimbangkan rasa.
  • Akhirnya, masukkan ulam yang telah direbus tadi dan gaulkan kesemua bahan sehingga rata dan sebati.
  • Sedia untuk dinikmati.
ulam rajaulam raja
Sumber : dapurkakjee.com

Tak sangka ulam ini mempunyai pelbagai kandungan vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh. Jika bosan nikmati ulam ini dengan nasi dan sambal belacan, sekali sekala anda boleh cuba resepi menarik yang kami kongsikan.

Jangan selalu pula ya, kerana ulam mentah adalah cara terbaik untuk anda dapatkan khasiat secara menyeluruh.

Sumber : Nutritionist KKM, Majalah Sains, MyFCD, Facebook Rosmawati Mohamad, dapurkakjee.com, rasa.my

Baca Juga : Kandungan Nutrisi Dalam Sayur dan Keistimewaannya Mengikut Warna



Source link

Previous Article

10 Jenis Buah yang Tidak Boleh Dimakan oleh Pesakit Buah Pinggang

Write a Comment

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Subscribe to our Newsletter

Subscribe to our email newsletter to get the latest posts delivered right to your email.
Pure inspiration, zero spam ✨